Wednesday, November 25, 2015

Tuhan menduga kita (part 1)

Agak lama aku tak menulis di dalam blog semenjak adanya facebook. Ntah hari ini aku rasa nak menulis tentang kisah diri aku sendiri. Mungkin perasaaan ini hadir kerana tahun 2016 nanti aku merancang untuk membuat perkara yang agak besar.

Ramai yang mengenali aku sebagai seorang bapa yang punya anak autism dan bekerja sebagai Penolong Arkitek di sebuah jabatan kerajaan. Sebenarnya, aku lebih daripada itu. Aku dianugerahkan Allah sebagai insan yang punyai banyak bakat dalam bidang seni. Sama ada dalam seni lukis, komik, muzik, seni grafik atau fotografi.


2008 - 2011 - Fotografi dan grafik



Pada 2008 aku menjalankan perniagaan FOTOGRAFI,  GRAFIK dan PRINTING secara sambilan atas dorongan minat yang mendalam. Fotografi bukanlah perkara baru bagi aku. Aku mula menceburinya pada 1999 lagi. Ketika itu kamera masih mengunakan filem. Fotografi adalah antara silibus yang aku minat ketika mengambil jurusan Diploma Senibina di UiTM Sri Iskandar Perak. Pastinya aku mendapat A untuk subjek tersebut. Subjek lain, ala kadar je. Hehe.  

Masa dan tenaga ketika itu pun banyak. Boleh dikatakan aku bebas dari masalah kewangan. Aku  kesana sini mencari ilmu tentang fotografi dan graphic dengan cara mengikuti apa-apa kursus sehinggalah ke semenanjung. Tugasan fotografi pula tidak terhad di Kapit saja, malah aku aktif di bandar-bandar utama seperti kawasan Kuching dan Sibu, walaupun terpaksa meredah sungai Batang Rajang dari Kapit. 

Aku juga melatih beberapa orang jurugabar muda berbakat dan pereka grafik untuk membantu kerja-kerja.

Perniagan ini, nampak hebat dan berpotensi besar, tapi aku belum ada keberanian untuk mebuat sepenuh masa.

2011 ; Berkahwin Dan Projek Band UB7 bermula.

Setelah berkahwin pada 2011 semuanya  menjadi perlahan. Kawasan pedalaman yang mampu aku redah dengan mudah, menjadi sukar kerana tanggung jawab semakin bertambah. 

Untuk pengetahuan, ke bandar lain kami terpaksa menaiki bot untuk Sibu yang merupakan bandar terdekat yang memakan masa 3 jam. Nak ke Kuching pula kene tambah lagi 7 jam. Tiada jalan raya yang menghubung ke bandar utama.

Kerana masalah ini, aku hanya focus dengan kerjaya aku sebagai Penolong Arkitek. Pendapatan sederhana dan statik namun aku hidup bahagia. Bersyukur sahaja dengan apa yang ada.  

Fotografi dan grafik bagaikan terhenti. Namun aku tetap berimpian meneruskannya setelah dapat berpindah ke Kuching nanti. 

UB7



Ketika berpindah ke Kapit pada 2006, aku menyertai sebuah band yang diberi nama Dilemma namun dibubarkan setahun kemudian setelah ketua band kami meninggal dunia. Selepas itu, aku menyertai combo KPSU selama setahun dan kemudiannya Dilemma kembali bergabung dengan nama Bulldozer dibawah ketua yang baru. Band ini lebih kepada band cover lagu-lagu rock kapak seperti Wings, May dan Search dan aku selaku vocalist utama kumpulan ini,  bagaimana pun berpecah sekali lagi kerana bassist kami berpindah. 

Pada 2011, memandangkan aktiviti fotografi agak terhad, aku memasang suatu impian baru. Aku perasan sedikit aku punyai bakat menyanyi walaupun suara tak sedap mana pun. Haha. Jadi apa salahnya untuk mencuba bakat. Manalah tau boleh popular. 

Kalau nak buat album kene ada lagu. Aku mengharapkan beberapa orang penulis lagu namun senyap begitu saja. Aku berfikir, susah nak mengharapkan orang kalau tak de duit di tangan. Lagu kene beli dari orang. Jadi kenapa aku tidak belajar saja menulis lagu. 

Sebulan aku gunakan masa untuk belajar bermain gitar. Dah tau kord, aku belajar sedikit teori muzik. Bagaimana melodi tercipta. Kemudian belajar menulis lagu. Banyak perkara dalam lagu aku kaji terutama lagu-lagu rock. Segala usaha keras aku berjaya dan aku capai semuanya dalam tempoh 2 bulan. Lalu aku menubuhkan UB7. 

Permulaan UB7 secara rasminya ketika Gig yang pertama pada 18.12. 2011, agak berjaya. Kami menyertai show-show live, mendapat tempat yang baik di Battle Of The band dan kami berjaya merakam 2 buah lagu dan pernah menjuarai carta Borneo Era dan Cats.Fm.

Bagaimanapun bagi aku percapaian itu masih diperingkat awal. Aku masih belum puas.  Masih jauh lagi jalan ini. Proses rakaman juga masih belum habis. Memandangkan studio di Kapit agak terhad, aku telah membina sebuah studio untuk latihan. Masih banyak benda yang aku perlu rancang.

Kelahiran Iskandar Zulkharnain


Ketika UB7 tertubuh,ketika itu jugalah permata hati aku dilahirkan. Aku dikurniakan seorang putera yang comel. Aku namakannya Muhd Iskandar Zulkharnain. Nama seorang tokoh yang tertulis didalam Al-Quran yang bernama Zulkharnain.Aku mahu jadikannya seorang yang hebat seperti namanya yang agung. Sekurang-kurangnya lebih hebat dari aku. 

Oleh kerana namanya agak panjang untuk disebut, maka kami memanggilnya Kharnain. Tu pun rasanya agak panjang terutama nak ditaip maka diringkaskan untuk tujuan penulisan di Fb dengan singkatan Khar9. 

Khar9 membesar seperti mana-mana budak normal yang lain. Bagaimanapun aku dapat merasakan dia agak aktik berbanding kanak-kanak sebayanya. 

Apabila berusia 1 tahun lebih dah mula berjalan kami mengalami masalah baru dimana Kha9 sangat susah untuk tidur malam. Purata tidur waktu malamnya adalah sekitar jam 2 pagi. Adakalanya membawa ke subuh.  Pelbagai usaha telah dibuat. Disaat itulah waktu tidur aku menjadi tidak menentu. Prestasi kerja sedikit terjejas. 

Disaat ini tekanan mula terasa namun bersyukur makcik isteri aku yang tinggal bersama kami sanggup membantu menidurkannya sekiranya kami bekerja keesokan hari. Satu pengorbanan yang aku sangat hargai. Entah bagaimana aku nak balas budi nanti. Moga Allah saja yang membalas. 


2014-2015 :Yang Terang Menjadi Gelap

Pada 2014 isteri aku mengandung lagi. Aku gembira. Sekurang-kurangnya Kha9 nanti ada kawan kerana  aku perhatikan Kha9 Masih tidak pandai bersosial dan masih belum mampu bertutur. 

Bagaimana pun kegembiraan aku tidak lama. Isteri aku keguguran pada 26 Jun 2014. Pembedahan dilakukn di Hospital Kapit. Aku pasrah.

Ketika Kha9 memasuki usia lebih 2 tahun aku merasakan tingkah lakunya bertambah ganjil. Dia masih  tidak bercakap. Tiada eye-contact, hyperactive, tiada focus, masalah dalam bersosial dan hanya bermain dalam dunianya sendiri. Aku mula kuatir. Kekuatiran yang melebihi dari ibunya. 


Runsing dengan perkara ini, lantas aku mencari maklumat tentang gejala tersebut di dalam Goggle. Maka aku terjumpa perkataan Autism. Suatu nama yang asing. Aku mengkaji dan terus mengkaji. Kebanyakan ciri-cirinya sama. 

Tanpa membuang masa, aku bersama isteri membawanya ke Hospital Normah  pada bulan 7 , 2014.  Bagaimanpun doktor masih belum berani memberi kata putus. Tertunggu-tunggu kemungkinan autism tapi perkataan itu langsung tidak keluar dari mulut doktor. Yang hanya adalah speech delay. Walau bagaimanapun kami agak tersentak apabila doktor memaklumkan Kha9 juga mempunyai masalah tonsil yang agak besar. Stage 3-4. Barulah aku tau sebab Kha9 selalu meleleh air liur, selalu termuntah dan tak nak makan. Inilah sebabnya. Sebelum ini aku hanya marah dengan sikapnya begitu. 

Tentang masalah pertuturan dan fokus doktor mencadangkannya  untuk mengikuti program speach teraphy dan OT di Hospital Normah. Kami mengikuti program itu, bagaimanapun setelah beberapa bulan, kami meminta doktor Hospital Normah merujuk ke Hospital Umum Sarawak serta merujuk bersama masalah tonsilnya.

Kami berpisah dengan Kha9

Seperti aku nyatakan pada awal cerita ini, pendapatan aku agak sederhana. Biasalah orang makan gaji. Kerja sebagai kakitangan kerajaan yang mempunyai pendapatan terjamin namun terbatas. 

Kami tinggal di Kuching manakala urusan perubatan untuk masalah autism dan masalah tonsil di Hospital Kuching. Perbelanjaan agak besar dan agak menyiksakan kerana Kha9 seorang yang sangat aktif. Sentiasa berlari dan masih tak mampu memahami arahan. 

Kami terpaksa menaiki kapal terbang kerana amat sukar untuk mengawal Kha9. Bayangkan 7 jam didalam bas. Sedangkan dalam bot ekspres selama 3 jam pun sudah membuat kami terasa nak gila. Apatah lagi 7 jam. Guna kapal terbang pulak untuk 3 orang kos lebih kurang Rm 700 untuk 1 trip. Jika ditotal semua jumlah perbelanjaan pengangkutan pergi balik sahaja termasuk bot ekspress adalah hampir Rm2000. Sedangkan gaji kami berdua hanya Rm5000 jika dicampur. Dan untuk makluman temu janji adalah 2 kali sebulan! Untuk ENT dan Psikatri serta program speach teraphy dan OT. Ada yang bertanya, kenapa mesti berdua membawa Kha9? Kerana seorang khas untuk mengawasi Kha9 tanpa boleh silap sesaat sekali pun, manakala seorang lagi khas untuk membuat urusan lain seperti membawa beg dan sebagainya. 

Setelah berfikir panjang, kami telah membuat keputusan untuk meninggalkan Kha9 bersama nenek dan atuknya dikampung dan dibawah jagaan penuh mak cik untuk mengurangkan kos dan tekanan ketika dlam perjalanan dari Kapit ke Kuching. 

Doktor pernah berpesan, Kha9 adalah anak tunggal. Kemungkinan itu antara faktor Kha9 lambat bercakap dan tidak pandai bersosial. Akhirnya kami menghantarnya ke Taski Pelangi Indah di kawasan Masjid Jamek untuknya belajar bersosial dengan budak-budak lain yang sebaya. Kha9 berada disitu selama 3 bulan. Tahniah juga saya ucapkan kepada pihak Taska kerana bersabar dengan Kha9 dan terdapat sedikit sebanyak perubahan diri Kha9 walaupun tidak banyak. Sekurang-kurang dia sudah boleh duduk diatas kerusi. 

Masuk tahun 2015, kami menghantar Kha9 ke Taska Tahfiz namun hanya seminggu berada disitu kerana sering kali demam kerana kesan tonsil yang agak besar dan dia juga dimaklumkan pihak guru tidak dapat mengikuti program Tadika Tahfiz. Semakin membesar dia semakin berbeza aku bertambah kuatir. 

Aku agak tertekan, tetapi ada berita gembira kerana isteri aku mengandung lagi buat kali ke 3. Dalam hati kali ini aku yakin Allah benar-benar ingin menganugerahkan aku seorang lagi anak. Mungkin menjadi sahabat untuk Kha9.

7 Januri 2015 - Ulang Tahun Kelahiran Aku 

Harapkan panas sehingga ke petang rupanya hujan ditengah hari. Pada tarikh istimewa ini, sekali lagi aku sekeluarga diuji. Ujian Allah tidak mengira hari walaupun ini hari ulang tahun aku. Isteri aku disahkan mengandung luar rahim dan segera dirujuk ke Hospital Sibu setelah mengadu kesakitan. Pembedahan terpaksa dilakukan untuk membuang kandungan dan tiub itu. Perkara ini amat membahayakan nyawanya jika tidak dilakukan cepat. Namun aku dimaklumkan oleh doktor antara kesan selepas pembedahan adalah kemungkinan kesukaran untuk mengandung lagi. Ketika itu, aku tiada pilihan lain selain  mengizinkan pembedahan itu dilakukan selain berdoa semoga isteri aku selamat.

 

Ketika itu aku berbisik memujuk hati. Sesedih manapun sekurang-kurangnya 2 insan telah siap-siap menanti ke pintu syurga. Aku redha. 

Pembedahan selamat dan aku lupa hari ulang tahun kelahiran aku sudah berlalu. 


Kha9 disahkan menghidapi ASD dan ADHD. 

Belum surut rasa sedih dihati. Selang seminggu selepas pembedahan isteri aku, temu janji seterusnya adalah dengan pakar psykiatri di General Hospital. Sesuatu yang mendebarkan. Walaupun aku sedar semua ciri-ciri autism ada pada Kha9 tapi aku masih cuba mengharapkan ia tidak berlaku. Begitulah hakikatnya, sesuatu kesedihan tidak semestinya akan hadir lagi menunggu sesudah ia pulih. Adakalanya ia datang silih berganti tanpa kita jangka dan Kha9 disahkan doktor pakar psykiatri menghidapi autism dan hyperactive atau nama lainnya ASD dan ADHD. 

Dalam keadaan yang masih terkejut, aku bertanya kepada doktor. Adakah ia akan pulih sepenuhnya? Jawapan doktor adalah tidak. Bagaimanapun boleh dikurangkan dengan menjalankan teraphy. DAN.... Adalah penting memberi latihan seawal usianya sebaik-baiknya sebelum berumur 7 tahun. 

Sesuatu yang berat telah diletak dibahu aku sebagai seorang bapa dan suami. Sekelip mata bebanan demi bebanan terpaksa aku galas. 

Dulu aku gembira, punyai impian untuk membina band rock yang disegani. Juga gembira dengan kerja-kerja fotograpi dan grafik. Sekarang sekelip mata berubah. 

Setelah balik dari General Hospital Kuching, malamnya aku terpaksa kembali le Kapit untuk bertugas. Aku terpaksa meninggal isteri aku yang masih dalam cuti lepas pembedahan dan meninggalkan anak yang baru disahkan Autism. Aku sembunyikan semua kesedihan dari semua orang. 

Sebelum balik menaiki bas. Aku mencium dan memeluk keduanya terutama Kha9. Dia terlalu muda untuk dugaan seperti itu. Sesuatu yang ditanggungnya sepanjang hayat. Segala-galanya dibahu aku sebagai bapanya. Aku berjanji aku akan membuat yang terbaik untuknya walaupun aku terpaksa bekorban. 

Didalam bas, sepanjang jalan kebetulan aku duduk bersendirian. Aku menangis. Satu rahsia yang tak pernah aku tunjukkan pada orang sekeliling. Kerana sekiranya jiwa aku nampak lemah, seluruh keluarga aku akan lemah. Aku mesti nampak kuat supaya mereka kuat. 

Aku sedar, akhir-akhir aku banyak diduga. Namun dugaan  Kha9 adalah lebih berat untuk dirinya tanggung. Tuhan memduga mu dan juga aku. 

BERSAMBUNG.....

-ditulis ketika menempuh 5 jam perjalanan dari Sibu ke Kuching menaiki Bot Express. 

No comments:

Post a Comment